Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang setulusnya kepada semua keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran di Putra Heights. Ketika ramai yang masih dalam keadaan trauma dan kesedihan, kita harus berdiri bersama mereka – bukan sahaja dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang membawa makna.
Dalam suasana penuh emosi ini, saya ingin menyeru semua pihak agar fokus kepada empat perkara penting:
- Biar Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan, Elakkan Spekulasi.
Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang telus, profesional dan menyeluruh. Janganlah kita terburu-buru membuat andaian atau menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan. Keutamaan kita sekarang adalah menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan memberi ruang kepada proses siasatan berjalan lancar. - Bantuan Saksama, Tanpa Mengira Kaum, Agama atau Latar Belakang.
Bantuan kepada mangsa harus bersifat adil dan menyeluruh. Tidak ada sesiapa yang patut terasa tersisih dalam keadaan seperti ini. Bantuan sewajarnya perlu sampai kepada semua, tanpa mengira latar belakang. Ini masa untuk kita tonjolkan nilai kemanusiaan dan kebersamaan. - Jangan Pinggirkan Kampung Sungai Baru.
Dalam kesungguhan memberi bantuan kepada kawasan taman perumahan, jangan pula kita lupakan Kampung Sungai Baru dan kawasan sekitar yang turut terkesan. Mereka juga rakyat yang memerlukan sokongan dan perhatian sama rata dalam proses pemulihan ini. - Satu gerakan pemakluman dan kesedaran secara menyeluruh hendaklah dilaksanakan kepada rakyat Malaysia.
Perkara ini khususnya perlu dilaksanakan untuk penduduk di kawasan berhampiran laluan paip gas di seluruh negara, bagi meningkatkan kesedaran terhadap risiko yang mungkin timbul sekiranya berlaku pencerobohan. Ini adalah langkah berjaga-jaga penting bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
UMNO Selangor akan terus memainkan peranan dalam membantu dan memantau agar semua bantuan disalurkan secara adil dan saksama serta dalam masa yang sama kempen kesedaran perlu dilakukan untuk semua rakyat Malaysia.
Kita doakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini.
Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor
Merangkap Ketua UMNO Bahagian Bangi
3 April 2025
Pautan Media Sosial