Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang, yang menyatakan bahawa kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah haji. Saya berpandangan kenyataan ini bukan sahaja bercanggah dengan nilai maqasid syariah, malah membuka ruang manipulasi agama demi kepentingan politik sempit.
Lebih membimbangkan, ia seolah-olah menghalalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ dalam konteks perjuangan politik, sesuatu yang sangat bertentangan dengan roh Islam yang sebenar.
Kenyataan ini mengingatkan kita kepada fenomena ‘Walid’, karakter yang kini menjadi simbol penunggang agama untuk kepentingan diri & menyesatkan masyarakat. Bezanya, Walid sesatkan akidah dalam layar perak, manakala Hadi Awang sesatkan amanah umat dengan ‘fatwa’ politik yang mengelirukan.
Ia juga dilihat sebagai mengulangi siri-siri ‘fatwa’ yang menyesatkan pengikut-pengikutnya sebelum ini sehingga sanggup berperang senjata dengan pihak berkuasa sebagaimana yang berlaku di memali pada tahun 1985 iaitu lebih kurang 4 tahun setelah haji Hadi menyemarakkan api kafir mengkafir melalui ‘amanatnya’ di Kampung Banggol, Peradong pada tahun 1981.
Betapa jahatnya seruan beliau pada masa itu, dapat dilihat dengan mata kita pada hari ini apabila beliau menjadikan musuh yang dia lawan dulu sebagai penasihat kerajaan negeri (SG4) yang diperintah oleh PAS.
Perkembangan ini dengan jelas menunjukkan pas tidak lagi menjadikan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi sebaliknya dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa.
Mereka menjual agama dengan harga yang murah apabila menyeru ahli-ahli mereka mengutip derma untuk pemimpin mereka membayar saman fitnah tanpa ada rasa keinsafan melakukan perbuatan fitnah berleluasa. Sedangkan Islam meletakkan fitnah sebagai perbuatan yang lebih besar dosanya dari membunuh.
Inilah bentuk penyelewengan agama yang lebih bahaya. Bertopengkan parti berlabelkan Islam, tetapi hakikatnya memperdagangkan kesucian agama untuk agenda politik.
Saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar berwaspada dan tidak terpedaya.
Tegas saya nyatakan tindak tanduk pemimpin pas ini adalah persis Walid dalam versi politik. berserban, berpidato, tetapi menyesatkan rakyat dengan fatwa yang direka demi kuasa.
Demi agama, bangsa dan negara, UMNO akan terus menegakkan politik berlandaskan adab, ilmu dan prinsip Islam yang sebenar. Bukan memperalatkan agama untuk nafsu berkuasa. Kerana fatwa tanpa integriti bukan panduan, tapi racun.
Dato’ Dr Zaidi Md Zain
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor
Ketua UMNO Bahagian Bangi
22 April 2025