UMNO SELANGOR

Insiden Kebakaran Putra Heights : Mangsa Perlu Pembelaan, Pihak Bertanggungjawab Perlu Pembelaan

Saya menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap ratusan keluarga yang terkesan akibat insiden kebakaran dahsyat yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya. Insiden ini bukan sahaja meragut ketenteraman hidup penduduk, tetapi turut meninggalkan trauma mendalam kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan keselamatan diri.
 
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya menyatakan sokongan penuh terhadap semua usaha bantuan, termasuk yang telah digerakkan oleh UMNO Bahagian Kota Raja & UMNO Bahagian Subang. UMNO Negeri Selangor komited untuk terus turun padang membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira waktu, tempat mahupun fahaman politik. Kami bersama rakyat, terutama saat mereka diuji.
 
Namun, sokongan moral dan bantuan bukan satu-satunya tindakan yang diperlukan saat ini. Sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, saya pasti bahawa isu ini akan dibawa terus ke peringkat tertinggi Kabinet untuk diteliti secara menyeluruh. Kerajaan perlu bertindak tegas dan profesional dalam memastikan bahawa mana-mana pihak, khususnya syarikat atau kontraktor yang cuai, tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab.
Kerugian harta benda, emosi dan nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan sekadar ucapan simpati. Pihak yang didapati lalai atau gagal mengikut piawaian keselamatan mesti dikenakan tindakan undang-undang serta diwajibkan menanggung sepenuhnya kerugian mangsa.
 
UMNO Negeri Selangor berdiri teguh bersama semua mangsa dalam menuntut keadilan dan pemulihan yang sewajarnya. Rakyat berhak mendapat persekitaran yang selamat dan pengurusan projek yang berintegriti.
Kepada semua mangsa, teruskan tabah dan kuat dalam menghadapi ujian ini
Semoga ada sinar dikemudian hari.
 
Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor / Ketua UMNO Bahagian Gombak
Merangkap Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia
 
Pautan Media Sosial 
Facebook :
Instagram : 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *