6 April 2024
Bismillahirrahamirahim.
Assalamualaikum wrt wbh.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang bermesyuarat pada hari ini, mengambil maklum dan membincangkan dua perkara yang bersangkutan, yakni :
i) Perletakan jawatan YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul sebagai Bendahari UMNO yang disiarkan di akaun Facebook beliau pada 1hb April 2024; dan
ii) Hantaran YB Tengku melalui akaun Facebook beliau pada hari ini bertajuk ‘Apa hala tuju UMNO Selangor?’
Saya, Hasnal Rezua Merican, Ketua UMNO Bahagian Selayang mewakili Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri Selangor yang tidak memegang sebarang jawatan eksekutif di dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor ingin menzahirkan rasa kesal di atas perletakan jawatan YB Tengku serta nada dan nuansa kenyataan-kenyataan beliau yang memberi gambaran seolah-olah UMNO Negeri Selangor tidak mempunyai halatuju dan berada di dalam situasi krisis.
Keberadaan YB Tengku, seorang Menteri kerajaan pusat, di dalam barisan kepimpinan UMNO Negeri Selangor adalah strategik dan seharusnya menjadi dorongan atau ‘impetus’ kepada agenda kebangkitan semula UMNO di negeri ini.
Namun Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor tidak mendapat manfaat daripada kedudukan strategik YB Tengku mahupun sumbangsaran efektif beliau semasa menjawat posisi Bendahari. Sarat tanggungjawab dan kepadatan jadual sebagai Menteri mungkin menjadi kekangan untuk YB Tengku menghadiri mesyuarat-mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor serta libaturus, program-program dan aktiviti-aktiviti UMNO Negeri Selangor.
Justeru, naratif yang kini didendangkan bahawa UMNO Negeri Selangor tidak mempunyai halatuju serta saranan-saranan untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Negeri Selangor seperti yang dilantunkan di dalam hantaran Facebook YB Tengku semalam adalah agenda yang tidak pernah dibentang untuk diwacanakan secara ilmiah.
Sebagai Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang secara tekun dan taat menghadiri (dutifully and religiously attend) mesyuarat-mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, kami mempunyai visi dan pandangan yang jelas mengenai agenda kebangkitan, penjenamaan dan peremajaan UMNO Negeri Selangor.
Kedudukan Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, teraju UMNO Negeri Selangor sebagai Setiausaha Politik kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, memberikan beliau akses langsung untuk mengadakan libaturus dengan YAB Perdana Menteri dan serta YAB Menteri Besar Selangor. Dalam kapasiti sedemikian, adalah sukar dihadam dakwaan bahawa ‘agenda kebangkitan semula UMNO di negeri Selangor adalah hambar berbanding UMNO Pusat serta adakalanya tidak sehaluan dengan tema di Pusat’.
Kami berlapang dada dengan penegasan YB Tengku bahawa beliau ‘masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja dan UMNO Selangor’. Kenyataan ini menampakkan ada sinar di hujung terowong dan kemelut ini seumpama ‘ribut di dalam secawan kopi’. Jalan ke hadapan adalah untuk mencari titik persamaan. Kami agak tersentak bila mendapati YB Tengku menyiarkan hantaran kedua yang membawa tema yang hampir sama dengan hantaran terdahulu setelah tarikan (‘traction’) terhadap isu ini mula reda. Selaras dengan lafaz komitmen YB Tengku terhadap UMNO Negeri Selangor, kami mengharapkan manfaat daripada hikmah YB Tengku.
Mutakhir ini, UMNO Negeri Selangor berada pada tahap disiplin dan solidariti yang tinggi. Ia mewujudkan suatu iklim yang kondusif untuk persepakatan. Kami, Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri Selangor yang tidak memegang sebarang jawatan eksekutif di dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor berdiri teguh di belakang kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.
Datuk Hasnal Rezua Merican
Ketua UMNO Bahagian Selayang