KUALA KUBU BHARU, 9 Mei – Perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara di negara ini yang diperjuangkan UMNO adalah di landasan yang tepat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. Jelasnya, UMNO telah melalui satu perjalanan yang cukup panjang semenjak ia ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
“Pastinya perjalanan yang begitu panjang dengan melalui banyak pengalaman dalam tempoh 78 tahun ini maka UMNO telah memberikan segala-galanya bukan hanya membawa negara ini merdeka tetapi yang lebih utama parti ini adalah komponen yang paling penting mengangkat negara Malaysia berada di landasan yang betul.
“Sebagai ahli UMNO, tarikh 11 Mei ini adalah hari yang kita sambut bukan hanya untuk ulang tahun UMNO tetapi ambil dari semangat penubuhan parti ini agar terus kekal dan relevan sehingga ke masa-masa akan datang, insya-Allah. “Saya percaya ahli-ahli UMNO telah melalui banyak pengalaman sama ada suka mahupun duka dan ini tidak mematahkan atau melemahkan semangat untuk terus berjuang,” katanya kepada UMNO Online.
Megat yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak turut menzahirkan ucapan kepada seluruh ahli parti sempena ulang tahun UMNO yang ke 78 tahun ini.“Saya juga ingin mengambil peluang mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun UMNO yang ke 78,” jelas beliau. Untuk rekod, UMNO akan menyambut ulang tahunnya ke-78 pada 11 Mei 2024 yang akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri. Sambutan ini juga diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.
Sumber : UMNO Online
https://umno-online.my/2024/05/09/umno-78-tahun-perjuangan-umno-bawa-negara-ke-landasan-tepat-megat-zulkarnain/