UMNO SELANGOR

Intipati Ucapan Presiden di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

Khamis, 29 Februari 2024

YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Malaysia memberi ucapan di Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pagi tadi.

Beliau menyatakan Kongres ini dianjurkan ekoran cadangan dan cetusan pemikiran yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Jun 2023 yang lalu. Kongres Ekonomi ini akan menyaksikan penubuhan agensi yang akan mengangkat agenda Bumiputera turut melahirkan Dasar Ekonomi Baru yang akan membuka ruang untuk kestabilan politik dan pengagihan ekonomi yang saksama untuk semua kaum dalam negara.

Kongres Ekonomi kali ini mengutarakan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar mengorak langkah kehadapan. TEB menggariskan tiga (3) matlamat utama untuk dicapai iaitu Keadilan Sosio-Ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa dan Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat. Tiga matlamat utama yang digariskan menuntut semua kaum untuk bersama membangunkan Negara.

Matlamat pertama, keadilan sosio-ekonomi adalah untuk memperkukuhkan jurang sosioekonomi di kalangan masyarakat Malaysia. Ia juga bertujuan untuk memastikan Bumiputera tidak tertinggal dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu. Bidang kemahiran juga mesti diterapkan sebagai pihak utama industri untuk generasi Bumiputera menjadi tenaga kerja yang kompeten untuk bersaing di pasaran buruh yang kompetitif. Beliau yakin usaha ini mampu meningkatkan peratusan pekerja mahir Bumiputera.

Selain itu, beliau akan memastikan peranan agensi-agensi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji akan lebih mengutamakan ekonomi Bumiputera. Tidak juga ketinggalan pengaktifan semula Unit Pemerkasaan Bumiputera di Kementerian, Agensi, GLC dan GLIC agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan secara berkesan.

Matlamat kedua, kemampanan negara bangsa fokus kepada kekuatan dalam pemeliharaan kesatuan dan kesepaduan, kestabilan politik dan struktur sosial yang teguh. TEB mesti menjadi satu dasar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Bumiputera dan berani mencipta kekuatan dalan menjalin hubungan luar untuk menarik pelaburan yang dapat membina landasan ekonomi kukuh untuk tempoh jangka yang panjang.

Matlamat ketiga TEB adalah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. YAB Presiden menyatakan kemakmuran negara bergantung kepada pertumbuhan ekonomi. TEB akan mengadakan program sokongan dan pembiayaan untuk membantu usahawan serta merangsang aktiviti sistem ekonomi secara keseluruhan. Kesejahteraan rakyat pula terpengaruh pada ekonomi individu dan TEB akan mencari solusi supaya lebih ramai bumiputera menyertai dalam kegiatan keusahawanan.

Selain daripada tiga (3) matlamat utama TEB, YAB Presiden juga menekankan enam (6) tekad permerkasaan Bumiputera. Tekad pertama adalah mempertahankan agenda Bumiputera yang sedia ada. Tekad kedua pula adalah usaha untuk menutup ketirisan perlaksanaan dasar dan inisiatif agenda Bumiputera. Tekad ketiga adalah mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok untuk kesemua masyarakat mendapat peluang dalam TEB.

Tekad keempat adalah memberi tumpuan kepada pengenal pasti peluang dan perkembangan ekonomi baharu masa hadapan. Ini merupakan proses penting untuk membina strategi berhadapan dengan perubahan teknologi, model perniagaan dan gaya hidup masa hadapan. Tekad kelima pula mengambil kepentingan untuk mewujudkan jalinan tulen ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tekad keenam adalah menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain. Ini adalah penting demi keadilan  kehidupan kaum majmuk dalam Malaysia.

YAB Presiden mengakhiri ucapan dengan tiga (3) ikhtiar untuk menjadi lonjakkan agenda pemerkasaan Bumiputera kelak. Beliau memaklumkan ikhtiar pertama adalah cadangan mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera yang bertanggungjawab untuk merangka mekanisma bagi membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan. Ikhtiar kedua adalah mengenai Waqaf Kesihatan dan Pendidikan Bumiputera yang akan menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada Bumiputera.

Akhir sekali, ikhtiar ketiga adalah syor untuk mengindustrikan pertanian yang bertujuan untuk melibatkan Bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar yang dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara.

Sekian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *