UMNO SELANGOR

Hentikan Rasukan Perakus !

Sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana amalan sogokan atau rasuah yang berleluasa.
 
Calon yang dibatalkan kemenangannya kemudian bertanding semula dalam pilihan raya kecil yang menyusul dan menang. Satu petanda bahawa pengundi tidak memandang perbuatan rasuah sebagai jijik atau menjengkelkan.
 
Kini giliran kemenangan Perikatan Nasional bagi kerusi Parlimen Kemaman pula diisytiharkan batal atas alasan yang sama. Saya menjangkakan calon yang sama akan bertanding semula dan menang pilihan raya kecil yang menyusul kerana pengundi akan terus mengangkat slogan dan sentimen Islam tanpa memperdulikan hukum dan sistem nilai Islam.
 
Sudah sampai masanya Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia serta Peguam Negara menggunapakai kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 10(1) dan (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk mendakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah mereka yang didapati melakukan rasuah atau sogokan oleh Mahkamah Pilihan Raya.
 
Jika sabit kesalahan, pelaku rasuah atau sogokan ini boleh dipenjara tidak lebih daripada 2 tahun dan didenda di antara RM1000-RM5000. Nama mereka akan dikeluarkan daripada daftar pemilih selama 5 tahun, di mana dalam tempoh tersebut mereka hilang hak untuk memilih dan dipilih di dalam apa-apa pilihan raya.
 
Hentikan rasukan perakus !
 
Dato’ Hasnal Rezua Merican
Ketua UMNO Bahagian Selayang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *